Sejajar dengan dasar ICT dalam pendidikan guru-guru di negara ini memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pelajar- pelajar yang mempunyai literasi ICT, di samping berkebolehan untuk menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah serta pengurusan di sekolah. Sejauh manakah kesediaan guru-guru menggunakan ICT - merupakan satu persoalan yang perlu dicari jawapannya. Kertas kerja ini membincangkan sebahagian hasil kajian berkaitan kesediaan ICT guru-guru. Kesediaan ICT guru-guru dikaji daripada tiga aspek utama iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap. Selain itu, turut dibicarakan ialah sejauh mana pengaruh enam faktor demografi iaitu kehadiran kursus ICT, pengalaman menggunakan ICT, umur, jantina, lokasi sekolah dan bidang pengkhususan terhadap kesediaan ICT guru-guru. Data dikumpul menggunakan set instrumen Kesediaan ICT Guru dan dianalisis secara deskriptif dan inferensi. Perbincangan serta cadangan-cadangan turut dikemukakan bagi memantapkan lagi kesediaan ICT guru-guru.
Makalah oleh: Rosnaini Mahmud-Mohd. Arif Ismail-Ruhizan Mohd Yasin-Ramlee Mustapha dan Rosseni Din
TINJAUAN LITERATUR |
Teknologi berasaskan komputer sudah bertapak di negara ini sejak pertengahan tahun-tahun 1980an. Namun begitu, hasil tinjauan literatur mendapati masih kurang kajian yang dilakukan bagi melihat kesediaan ICT guru-guru berdasarkan tiga aspek penting iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap secara serentak. Menurut Wong (2002), Wild (1995) dan Wilson (1990) dalam menentukan kesediaan guru-guru menggunakan ICT adalah penting untuk menyelidiki ketiga-tiga aspek tersebut secara serentak bagi memperoleh gambaran yang lebih tepat dan menyeluruh. Turut didapati sebahagian besar daripada kajian-kajian yang dijalankan berkaitan dengan kesediaan ICT guru-guru tidak membezakan antara pengetahuan dan kemahiran ICT, di mana aspek pengetahuan dan kemahiran yang diukur lebih tertumpu kepada pengetahuan penggunaan komputer atau ICT secara praktis yang melibatkan kemahiran mengoperasi perkakasan, perisian serta pelbagai aplikasi teknologi berasaskan komputer. Selain itu, kebanyakan kajian tersebut juga menggunakan instrumen dalam bentuk soal selidik serta senarai semak untuk menentukan tahap pengetahuan dan kemahiran ICT guru-guru. Kajian-kajian tentang kesediaan dan penggunaan ICT dalam kalangan guru yang dijalankan pada dekad 1990an didapati lebih tertumpu kepada aspek-aspek pengetahuan dan kemahiran menggunakan perisian-perisian produktiviti seperti pemprosesan perkataan, pangkalan data dan helaian hamparan elektronik. Pada akhir tahun 1990an hingga kini, didapati kajian-kajian mula memasukkan elemen-elemen telekomunikasi seperti Internet, komunikasi berperantara komputer terutamanya mel elektronik dan juga pengajaran dan pembelajaran berasaskan web. Di samping itu, kajian-kajian tentang penggunaan perisian-perisian produktiviti masih tetap diteruskan. Keadaan ini menunjukkan pengaruh perkembangan pesat ICT dalam sistem pendidikan pada masa ini. Sambungannya |
METODOLOGI |
Kajian ini dilaksanakan dengan menggunakan metodologi penyelidikan kuantitatif dalam bentuk tinjauan. Pengumpulan data kajian dilakukan dengan menggunakan satu set instrumen kajian yang dinamakan sebagai instrumen Kesediaan ICT Guru yang diadaptasi daripada instrumen yang dihasilkan oleh Wong (2002). Set Instrumen Kesediaan ICT mengandungi tiga jenis instrumen iaitu Ujian Pengetahuan ICT, Ujian Kemahiran ICT dan soal selidik Sikap Terhadap ICT. Dalam kajian ini, aspek pengetahuan dan kemahiran ICT yang dikaji adalah terbatas kepada pengetahuan dan kemahiran-kemahiran ICT pada peringkat asas sahaja. Kebolehpercayaan Ujian Pengetahuan ICT ialah 0.74, Ujian Kemahiran ICT ialah 0.97 dan soal selidik Sikap terhadap ICT ialah 0.95. Ujian Pengetahuan ICT terdiri daripada 20 soalan objektif dengan empat pilihan jawapan yang menguji pengetahuan guru-guru berkaitan perkakasan dan perisian sistem, Internet dan mel elektronik. Setiap jawapan betul diberikan skor 1 manakala setiap jawapan salah diberikan skor 0. Skor maksima bagi ujian pengetahuan adalah 20. Ujian Kemahiran ICT pula terdiri daripada 90 item tugasan praktikal atau hands on yang diadakan dalam dua mod iaitu mod dalam talian melalui penggunaan Internet dan mel elektronik serta mod luar talian menggunakan pakej perisian Microsoft Office iaitu pemprosesan perkataan (Word), helaian hamparan elektronik (Excel), pangkalan data elektronik (Access) dan persembahan elektronik (PowerPoint). Setiap tugasan yang dilakukan dengan sempurna atau lengkap diberikan skor 1, manakala setiap tugasan yang tidak sempurna atau tidak dilakukan diberi skor 0. Skor maksima bagi ujian kemahiran ini adalah 144 memandangkan terdapat item-item yang menguji beberapa kemahiran secara serentak. Soal selidik Sikap Terhadap ICT terdiri daripada 44 item berkaitan Internet dan mel elektronik, aplikasi perisian secara khusus, aplikasi perisian secara umum, ICT secara umum serta pengajaran dan pembelajaran berasaskan web. Soal selidik ini menggunakan skala Likert lima mata (1 - Sangat Tidak Setuju, 2 – Tidak Setuju, 3 – Kurang Pasti, 4 – Setuju dan 5 – Sangat Setuju). Sampel kajian terdiri daripada 303 orang guru sekolah menengah yang dipilih secara rawak dari empat buah negeri mengikut zon iaitu negeri Perlis (Zon Utara), negeri Perak (Zon Barat), negeri Pahang (Zon Timur) dan negeri Johor (Zon Selatan). Data kajian dianalisis secara deskriptif (frekuensi, peratusan, min dan sisihan piawai) serta juga secara inferensi (analisis varians multivariat (MANOVA). |
DAPATAN KAJIAN |
Kesediaan Guru daripada segi Pengetahuan ICT Didapati majoriti guru (256 orang, 84.5%) mempunyai pengetahuan ICT yang sederhana. Turut didapati hanya 22 orang guru (7.3%) mempunyai pengetahuan ICT yang tinggi, manakala terdapat 25 orang guru (8.2%) yang masih mempunyai pengetahuan ICT yang rendah. Kesediaan Guru daripada segi Kemahiran ICT (a) Kesediaan Guru daripada segi Kemahiran Berdasarkan Enam Kategori Aplikasi Pemprosesan Perkataan Didapati majoriti guru (203 orang, 67%) berkemahiran tinggi menggunakan aplikasi ini. Sejumlah 99 orang guru (32.7%) pula didapati mempunyai kemahiran pada tahap sederhana. Turut didapati seorang guru yang masih tidak mahir menggunakan pemprosesan perkataan. Helaian Hamparan Elektronik Didapati lebih satu pertiga daripada guru-guru (114 orang, 37.6%) berkemahiran sederhana dalam menggunakan aplikasi tersebut. Sementara itu, satu pertiga lagi guru (98 orang, 32.4%) didapati mempunyai kemahiran yang tinggi, manakala 91 orang lagi guru (30%) didapati mempunyai kemahiran yang rendah. Pangkalan Data Elektronik Didapati majoriti guru (278 orang, 91.7%) mempunyai kemahiran yang rendah dalam menggunakan aplikasi ini. Turut didapati hanya 16 orang guru (5.3%) yang berkemahiran tinggi dalam melakukan tugasan berkaitan pangkalan data elektronik. Selain itu, terdapat sembilan orang guru (3.0%) yang mempunyai kemahiran yang sederhana. Persembahan Elektronik Didapati lebih satu pertiga daripada guru-guru (121 orang, 39.9%) mempunyai kemahiran yang sederhana dalam menggunakan persembahan elektronik. Lebih satu pertiga lagi daripada guru-guru (118 orang, 38.9%) didapati mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menggunakan aplikasi tersebut. Kajian juga mendapati seramai 64 orang guru (21.1%) lagi yang masih rendah kemahiran mereka menggunakan persembahan elektronik. Asas Internet Didapati sejumlah 132 orang guru (43.6%) berkemahiran tinggi dalam menggunakan asas Internet. Seramai 72 orang guru (23.7%) pula didapati mempunyai kemahiran yang sederhana, manakala 99 orang guru lagi (32.7%) mempunyai kemahiran yang rendah. Mel Elektronik Didapati majoriti guru (190 orang, 62.7%) mempunyai kemahiran yang rendah dalam menggunakan aplikasi tersebut. Hanya terdapat 58 orang guru (19.1%) yang berkemahiran tinggi menggunakan aplikasi ini, manakala seramai 55 orang (18.15%) lagi didapati mempunyai kemahiran yang sederhana. (b) Kesediaan daripada segi Kemahiran ICT secara Keseluruhan Didapati majoriti guru (243 orang, 80.20%) mempunyai kemahiran asas ICT pada tahap sederhana. Selain itu, didapati cuma 19 orang guru (6.27%) yang mempunyai kemahiran asas ICT yang tinggi. Turut didapati seramai 41 orang guru (13.53%) yang mempunyai kemahiran asas ICT yang rendah. Kesediaan Guru daripada segi Sikap Terhadap ICT Didapati majoriti guru (291 orang, 96%) mempunyai sikap yang positif terhadap ICT yang berkaitan Internet serta mel elektronik, aplikasi perisian secara khusus, aplikasi perisian secara umum, ICT secara umum serta pengajaran dan pembelajaran berasaskan web. Terdapat 12 orang guru (4.0%) yang kurang pasti dengan sikap mereka terhadap ICT, manakala tiada seorang guru pun yang menunjukkan sikap yang negatif terhadap ICT. Kesediaan Guru daripada segi Pencapaian ICT Didapati majoriti guru (256 orang, 84.5%) berada pada tahap pencapaian ICT (pengetahuan + kemahiran) yang sederhana. Turut didapati hanya 17 orang guru (5.6%) yang berada pada tahap pencapaian tinggi, manakala seramai 30 orang guru (9.90%) berada pada tahap pencapaian rendah. |
Pengaruh Kehadiran Kursus ICT
Dafatar pustaka