Kertas kerja ini melaporkan kajian yang telah dijalankan dalam mengenalpasti persepsi pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang telah mereka lalui dengan menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (SPP). SPP merupakan sistem perisian yang dibangunkan untuk menyampaikan pengajaran secara atas talian. Kursus yang terlibat ialah kursus IMK 209 – Sifat-Sifat Fizikal Makanan yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM. Seramai 54 orang pelajar terlibat dalam kajian ini dan kajian adalah berbentuk kuantitatif berasaskan soal selidik. Dimensi proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang dikaji ialah isi kandungan, penyampaian isi kandungan, keberkesanan/ penilaian pembelajaran, interaksi pelajar–fasilitator, interaksi pelajar–pelajar, sumber/rujukan pembelajaran dan kuiz/soalan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar berpuas hati dengan semua dimensi yang dikaji. Analisis soal selidik terbuka pula menunjukkan bahawa SPP amat sesuai untuk diri mereka dan P&P yang berlaku membantu mereka dalam memahami kandungan kursus. Mereka berpendapat persekitaran pembelajaran yang disediakan amat menarik dan mereka dapat banyak maklumat tambahan di samping berinteraksi secara asinkronous sesama pelajar dan juga dengan pensyarah. Antara kelemahan yang dikenalpasti pula ialah kesukaran untuk akses internet dan tiada kemudahan akses disediakan di kampus.
PENGENALAN Dalam era teknologi maklumat yang berkembang pesat di dalam pelbagai bidang kehidupan kita, ia turut mengubah cara penyampaian kursus dikendalikan. Pelbagai sumber pembelajaran boleh diperolehi dengan mudah melalui internet dan di samping itu, pelbagai bentuk komunikasi sinkronous dan asinkronous boleh dikendalikan tanpa batasan masa dan ruang. Dalam kajian ini, SPP berasaskan sumber terbuka akan dikaji. Antara SPP berasaskan sumber terbuka yang banyak digunakan oleh institusi pengajian tinggi ialah Moodle, Sakai, Atutor dan lain-lain. Walaupun pembelajaran secara atas talian ini memberi impak yang begitu mendadak terhadap institusi pendidikan jarak jauh dan terbuka, ia juga turut memainkan peranan dalam pendidikan konvensional biasa. Dalam pendidikan konvensional biasa, aktiviti pembelajaran utama ialah melalui perjumpaan bersemuka melalui kuliah atau tutorial. Namun begitu, sumber maklumat daripada internet yang mempunyai pelbagai atribut media seperti visual, audio, video dan animasi boleh membantu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kemajuan ICT telah memperkenalkan sistem pengurusan pembelajaran (SPP) yang mengintegrasikan bahan pembelajaran dengan sistem pangkalan data. Justeru, SPP membolehkan pembelajaran lebih sistematik dan terurus di samping membolehkan penjejakan dan pemantauan pembelajaran dilakukan. Antara ciri-ciri SPP adalah seperti berikut;
Kajian terhadap persepsi pelajar dan pencapaian pelajar melalui E-Pembelajaran telah banyak dilakukan. Sebagai contoh, Schutte (1997) telah membandingkan pengajaran tradisional dengan E-Pembelajaran dan mendapati bahawa skor pelajar yang mengikuti E-Pembelajaran adalah 20 peratus lebih tinggi daripada pengajaran tradisional. Pankey (1998) pula mendapati pengajaran atas talian adalah setanding dengan pengajaran biasa merujuk kepada persepsi pelajar. Dalam masa yang sama, Schulman & Sims (1999) mendapati bahawa pembelajaran secara atas talian mempunyai kesan yang hampir sama dengan pengajaran secara tradisional. Culberston dan Smith (2003) telah menjalankan suatu kajian yang membandingkan pembelajaran bersemuka dengan pembelajaran atas talian bagi kursus Pengenalan Sains Makanan. Perbandingan dijalankan bagi dua kumpulan, iaitu kumpulan pelajar kolej sepenuh masa (pembelajaran bersemuka) dan kumpulan pelajar jarak jauh (pembelajaran atas talian) yang sebahagiannya (21%) terdiri daripada pekerja mahir dalam industri makanan. Dapatan kajian mereka mendapati prestasi peperiksaan bagi kumpulan yang mengikuti pembelajaran atas talian adalah lebih baik berbanding kumpulan yang satu lagi. Dalam kajian ini kursus yang terlibat ialah IMK 209 – Sifat-Sifat Fizikal Makanan yang ditawarkan sebagai kursus teras (wajib) oleh Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM pada semester ke-2, sidang akademik 2005/2006. Bahan-bahan pembelajaran telah dimuatkan di dalam SPP sebagai sistem sokongan kepada pembelajaran konvensional. Dalam erti kata yang lain, di samping mengikuti kuliah dan tutorial mingguan, para pelajar juga digalakkan untuk mengikuti pembelajaran secara atas talian melalui SPP. Bahan-bahan sampingan yang dimuatkan di dalam SPP adalah berbentuk bahan mingguan yang merangkumi pembelajaran yang telah dilakukan sepanjang minggu tersebut. Rajah 1 menunjukkan bahan-bahan yang telah disediakan kepada pelajar dalam SPP. Di samping mengikuti bahan pembelajaran, pelajar-pelajar juga digalakkan mengikuti perbincangan secara asinkronous melalui papan forum yang disediakan. Rajah 2 menunjukkan kolaborasi yang telah menunjukkan penglibatan yang baik daripada kalangan pelajar. Rajah 3 pula menunjukkan animasi yang telah dimuatkan di dalam SPP dengan menggunakan sofwer Articulate Presenter. Sofwer ini membolehkan video streaming berasaskan flash dimuatkan ke dalam SPP dan boleh dimuat turun oleh pelajar. KAEDAH Untuk kajian ini, satu soal selidik dibangunkan yang terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagia (A) dan bahagian (B). Bahagian (A) memerlukan responden mengemukakan maklumat demografik. Ini termasuk jantina, cgpa, jenis penginapan, memiliki komputer peribadi, akses internet, cara mengakses SPP dan kekerapan menggunakan SPP. Bahagian (B) soal selidik ini mengandungi 7 dimensi iaitu dimensi isi kandungan, penyampaian isi kandungan, keberkesanan/penilaian pembelajaran, interaksi pelajar-fasilitator, interaksi pelajar-pelajar, sumber/ rujukan pembelajaran dan kuiz/ soalan. Kesekuruhan soal selidik ini mempunyai 70 item dan setiap item diiringi dengan skala likert bernilai 1 hingga 5, dengan nilai 1 membawa makna paling tidak setuju dan nilai 5 bermakna paling setuju. Analisis kebolehpercayaan instrument ditunjukkan di Jadual 1. Nilai alpha yang diperolehi menunjukkan konsisten dalaman yang boleh diterima. Jadual 1: Analisis kebolehpercayaan instrumen
Soal selidik diedarkan kepada pelajar di akhir semester dan pelajar telah mengikuti kursus IMK 209 – Sifat – Sifat Fizikal Makanan sepenuhnya. Dalam erti kata yang lain, mereka telah menjalankan aktiviti pembelajaran menggunakan alatan yang disediakan di dalam SPP. Data yang diperolehi dari soal selidik dianalisis dengan menggunakan SPSS versi 13.0. Data dianalisis secara deskriptif sahaja. KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN Analisis demografik menunjukkan bahawa sampel terdiri daripada 92.5 peratus perempuan dan 7.41 peratus lelaki. Ketidakseimbangan lelaki dan perempuan dalam kajian ini tidak dapat dielakkan memandangkan bahawa pelajar yang mengikuti kursus ini mempunyai bilangan pelajar perempuan yang lebih ramai daripada pelajar lelaki. Seramai 51.85 peratus pula menginap di luar kampus manakala selebihnya menginap di desasiswa. Komputer peribadi yang dimiliki oleh pelajar adalah tinggi iaitu sebanyak 16.67 peratus. Walau bagaimanapun akses internet adalah rendah iaitu sebanyak 38.8 peratus. Pelajar-pelajar ini bergantung kepada kemudahan internet yang disediakan oleh USM iaitu 42.60 peratus manakala seramai 33.3 peratus pula bergantung kepada kafe siber. Kekerapan penggunaan SPP pula ditunjukkan di dalam Jadual 2. Jadual 2: Kekerapan penggunaan SPP oleh pelajar
Analisis dimensi P&P yang disediakan oleh SPP ditunjukkan dalam Jadual 3 dan secara grafik pula ditunjukkan di dalam Rajah 4. Rajah 4 menunjukkan bahawa skor isi kandungan memperolehi min yang tinggi (min = 3.40). Ini menggambarkan bahawa pelajar mempunyai persepsi yang amat positif terhadap isi kandungan yang telah dimuatkan di dalam SPP. Isi kandungan telah direka bentuk berasaskan teori rekabentuk instruksional yang sesuai di samping menggunakan pelbagai sofwer sampingan yang lain seperti Xara Webstyle dan Articulate Presenter untuk menghasilkan bahan pembelajaran yang lebih berinteraktif dan beranimasi. Dimensi seterusnya mempunyai nilai min yang hampir sama ialah interaksi pelajar-fasilitator, sumber/rujukan pembelajaran, keberkesanan/ penilaian pembelajaran dan kuiz/soalan. Jadual 3: Analisis min aktiviti pembelajaran
Rajah 4: Graf perbandingan dimensi pembelajaran Seterusnya analisis soal selidik soalan terbuka ditunjukkan dari Jadual 4 hingga Jadual 7 merujuk kepada hasil pembelajaran, kesesuaian diri, kelemahan dan kekuatan. Jadual 4 menunjukkan pelajar berpendapat bahawa hasil pembelajaran yang diperolehi adalah baik, menarik dan senang difahami. Jadual 4: Analisis dimensi hasil pembelajaran yang diperolehi
Jadual 5 pula menunjukkan aspek kesesuaian diri yang amat baik dikemukakan oleh pelajar. Pelajar juga merasakan bahawa keseluruhan sistem yang disediakan adalah baik dan amat menarik. Pelajar juga boleh berinteraksi sesama rakan dan pensyarah. Jadual 5: Analisis dimensi kesesuaian untuk diri
Rajah 6 menunjukkan analisis kelemahan sistem yang disediakan. Pelajar mendapati bahawa masalah utama yang dihadapi ialah sukar untuk akses internet dan kemudahan ini tidak disediakan di USM dan pelajar hanya bergantung kepada kemudahan internet di kafe siber. Tindakan yang komprehensif perlu diambil oleh pihak universiti dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang bersesuaian untuk menampung keperluan pembelajaran secara atas talian. Walaupun pihak universiti telah menyediakan kemudahan wireless di desasiswa-desasiswa namun liputannya tidak meluas dan tidak dapat menampung keperluan pelajar. Jadual 6: Analisis dimensi kelemahan
Analisis kekuatan pula menunjukkan bahawa pelajar merasakan pembelajaran melalui SPP adalah menarik dan seronok. Mereka berpeluang untuk berinteraksi terus dengan pensyarah walaupun di luar waktu pejabat. Bahan-bahan yang disediakan dan pautan yang terdapat di dalam SPP amat membantu mereka untuk memperkukuhkan lagi kefahaman mereka terhadap bahan pembelajaran yang disediakan. Jadual 7: Analisis dimensi kekuatan
RUMUSAN Kajian telah dijalankan dalam mengenalpasti persepsi pelajar terhadap SPP sebagai sistem sokongan pembelajaran untuk kursus konvensional sepenuh masa. Kursus yang dikaji ialah IMK 209 – Sifat - sifat Fizikal Makanan. Dapatan menunjukkan bahawa secara keseluruhan, pelajar mempunyai persepsi yang amat positif terhadap pembelajaran yang telah dikendalikan melalui SPP. Bahan yang disediakan mempunyai pelbagai atribut media yang boleh memperkukuhkan kefahaman mereka. Kolaborasi asinkronous pula menggalakkan perbincangan di dalam kumpulan dalam menyelesaikan sesuatu masalah secara bersama. Pautan yang disediakan pula memberi pelajar ruang untuk mendapatkan maklumat dari pelbagai perspektif. Dapatan yang positif ini boleh menjadi tanda aras untuk perlaksanaan SPP yang komprehensif meliputi semua kursus sepenuh masa yang ditawarkan oleh setiap pusat pengajian di USM. Namun begitu, infrastruktur terutama sekali kemudahan akses kepada internet perlu dipertingkatkan supaya SPP dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan di samping dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar. Pelajar akan membudayakan internet sebagai bahan pembelajaran dan ini adalah seiring dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan dalam menuju wawasan 2020. |