Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Penggunaan Pembelajaran

Tujuan kajian penyelidikan ini dijalankan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan e-learning di kalangan pelajar tahun lima, Fakulti Pendidikan, UTM.  Seterusnya, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar serta cadangan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan e-learning berdasarkan persepsi pelajar.  Seramai 169 responden daripada pelajar tahun lima Fakulti Pendidikan UTM yang mengambil subjek pembangunan multimedia telah dipilih untuk tujuan kajian ini.  Dalam kajian rintis, nilai alpha yang diperolehi adalah 0.8560. Semua faktor yang dikaji iaitu isi kandungan, inisiatif pensyarah, inisiatif pelajar, kegunaan, kesenangan untuk diguna dan reka bentuk didapati berada pada tahap pengaruh yang tinggi iaitu antara 3.34 hinnga 5.00.  Hasil analisis ini menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar suka menggunakan e-learning kerana penggunaanya yang lebih fleksibel dan mudah untuk berinteraksi dengan pensyarah dan rakan lain disamping perkongsian maklumat-maklumat dan bahan pembelajran.


Noor Azean Atan, Hiew Yee Fun, Baharuddin Aris dan  Norah Md. Noor


PENGENALAN
Sekiranya kita meninjau kaedah pembelajaran yang ada di seluruh dunia pada hari ini, kita mendapati bahawa konsep pembelajaran mengalami perubahan.  Perkembangan teknologi dan peningkatan kepentingan penghantaran maklumat berkomputer telah membawa kepada e-learning atau e-pembelajaran.  Menurut Mosher (2005), e-learning telah mengubah lanskap pembelajaran dari pengajaran di bilik darjah sahaja kepada pembelajaran terbuka seperti di depan desktop.  Berbeza dengan pembelajaran atas talian (online learning), e-learning merupakan pembelajaran yang berasaskan teknologi (technology-based learning).  Merujuk kepada Washington State Department of Personnel, Training and Development Service (2001), e-learning ialah penghantaran kandungan menerusi semua media elektronik, termasuk Internet, intranets, penyiaran satelit, pita audio atau video, TV interaktif dan CD-ROM (Compact Disc-Read Only Memory).  Oleh itu, pelajar boleh mengalami proses pembelajaran menggunakan CD-ROM atau melayari Internet tanpa kekangan masa, tempat dan ruang.

E-learning sememangnya merupakan suatu strategi baru dalam bidang pendidikan yang berbeza dengan kaedah pembelajaran tradisional yang diamalkan.  E-learning membolehkan pelajar melaksanakan pembelajaran kendiri dengan lebih berkesan.  Pelajar boleh memilih tempat, masa, kandungan dan hala tuju pembelajaran mengikut kehendak sendiri.  Selain itu, e-learning juga dianggap dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa kerana komunikasi boleh dijalankan sama ada secara asynchronous ataupun synchronous. (Jamaludin Mohaidin, 2000; Rosenberg, M. J., 2001; Mosher, 2005; Brooke., 2002; Shea-Schultz dan Fogarty, 2002)  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai sebuah universiti yang bervisi untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan akademik dan teknologi bertaraf dunia melalui kreativiti sudah tentu tidak mahu ketinggalan dan ini dapat dibuktikan melalui pelancaran UTM sebagai sebuah Kampus Siber pada 16 Jun 1997.  Salah satu aplikasi pembangunan projek kampus siber UTM ialah pelaksanaan program e-learning.  Program e-learning di UTM telah dikembangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan perisian WebCT pada semester II sesi 2001/2002 dan kemudian bertukar menggunakan perisian sumber terbuka (open source) Moodle sebagai platform e-learning yang baru.  Dengan itu, dalam lembaran seterusnya, satu kajian akan dijalankan mengenai faktor-faktor penggunaan e-learning di kalangan pelajar Fakulti Pendidikan UTM yang akan dibincangkan dengan terperinci.  Adalah diharapkan kajian ini akan memberikan sumbangan kepada penggunaan e-learning di UTM dan seterusnya membantu merealisasikan Wawasan 2020 dan mencapai taraf negara maju.

PENYATAAN MASALAH
Selari dengan matlamat Projek e-learning, UTM menekankan bahawa maklumat mata pelajaran, nota kuliah, kuiz, tugasan dan perbincangan hendaklah boleh diakses oleh para pelajar melalui rangkaian komputer sendiri.  Dengan itu, fakulti pendidikan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran melalui e-learning sebagaimana yang disarankan oleh pihak UTM.  Melalui sistem e-learning, setiap pelajar Fakulti Pendidikan yang berdaftar berpeluang untuk mengakses maklumat mata palajaran masing-masing pada bila-bila masa dan di mana juga.  Pelaksanaan e-learning telah menyediakan banyak manfaat kepada pelajar.  Antaranya ialah menyediakan kemudahan untuk menyokong proses pembelajaran yang lebih fleksibel, meningkatkan kefahaman dan minat pelajar, menyediakan kemudahan untuk belajar mengikut kemampuan, mendedahkan kepada pelajar konsep pendidikan tanpa batas, dan menggalakkan pelajar menjadi lebih kreatif. Sejak pelaksanaan e-learning, pensyarah-pensyarah Fakulti Pendidikan (FP) terutamanya pensyarah di bawah Jabatan Multimedia Pendidikan telah bertungkus-lumus untuk memanfaatkan penggunaan e-learning dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Didapati pensyarah selalu mengemaskimi kandungan dan maklumat mata pelajaran di laman web e-learning UTM.  Pelajar-pelajar telah digalakkan oleh pensyarah untuk menggunakan e-learning bagi menghantar tugasan dan mengambil kuiz atas talian (online quiz).   Menurut Dr. Jamalludin Harun (2004), tahap penggunaan e-learning di kalangan pelajar FP adalah tertinggi di antara fakulti-fakulti UTM pada semester II sesi 2004/2005.  Menurut beliau lagi, pernah satu ketika hits ke pelayan (server) e-learning UTM oleh pelajar yang mengambil matapelajaran pendidikan mencapai jumlah melebihi 1500 dalam satu jam. Dalam konteks kajian ini, masalah yang diketengahkan oleh pengkaji adalah:

1.       Penggunaan e-learning merupakan sesuatau yang agak baru di kalangan pelajar fakulti pendidikan.  Oleh itu, ia masih perlu dikaji dengan terperinci untuk mengembangkan pelaksanaan e-learning di UTM
2.       Kebanyakan kajian yang dijalankan terhadap e-learning di Malaysia atau luar negara adalah berkaitan dengan penerimaan e-learning.  Oleh itu, kajian perlu dijalankan untuk mengetahui faktor-faktor penggunaan e-learning.
3.       Program e-learning UTM yang dilaksanakan dengan menggunakan perisian sumber terbuka Moodle hanya bermula semenjak semester II sesi 2004/05.  Oleh itu, adalah perlu untuk menjalankan kajian untuk mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna supaya kelemahan yang wujud dapat dibaiki.

OBJEKTIF KAJIAN
1.       Mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar tahun lima Fakulti Pendidikan UTM menggunakan e-learning UTM dari enam aspek utama iaitu isi kandungan, inisiatif individu, inisiatif pensyarah, kegunaan (usefullness) , kesenangan untuk diguna (ease of use), dan reka bentuk e-learning.
2.       Mengenal pasti perbezaan signifikan bagi faktor demografi seperti jantina, kursus dan subjek pembangunan multimedia terhadap penggunaan e-learning di kalangan pelajar tahun lima Fakulti Pendidikan UTM.
3.       Mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar tahun lima Fakulti Pendidikan UTM semasa menggunakan e-learning
4.       Mengemukakan cadangan dari pelajar untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan e-learning UTM.

SKOP DAN BATASAN KAJIAN
Kajian ini adalah berbentuk deskriptif dan inferensi yang dijalankan di Fakulti Pendidikan (FP), UTM, Skudai, Johor.  Pengkaji memilih FP sebagai tempat kajian kerana pelajar FP adalah merupakan diantara pelajar yang aktif menggunakan e-learning berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh UTM. Fokus utama kajian adalah mengkaji faktor penggunaan e-learning yang merangkumi aspek isi kandungan, inisiatif individu, inisiatif pensyarah, kegunaan, kesenangan untuk diguna, dan reka bentuk e-learning. Kajian ini tertumpu kepada pelajar-pelajar tahun lima yang mengikuti program ijazah sarjana muda di fakulti pendidikan yang mengambil subjek Pembangunan Multimedia Berasaskan CD-ROM (SPT 4432) atau Pembangunan Multimedia Berasaskan WEB (SPT 4443/ SPM 4342) pada semester I sesi 2005/2006.

SOROTAN KAJIAN
Pelaksanaan E-learning UTM
Projek e-learning telah mula dilaksanakan di UTM pada tahun 1997 dan boleh diakses melalui CyberDidik, http://161.139.52.251.  Pada masa itu, pensyarah-pensyarah fakulti pendidikan telah mengambil inisiatif untuk membangunkan portal e-learning dengan menggunakan pengkodan Hypertext Markup Language (HTML).  Kursus pertama yang berasaskan Internet adalah kursus literasi komputer.  Melalui sistem e-learning, pelajar-pelajar boleh mengakses nota kuliah dengan percuma. Pada tahun 2000, e-learning UTM telah berubah daripada yang menggunakan HTML kepada Microsoft Front Page.  Hal ini demikian kerana Microsoft Front Page adalah lebih mudah untuk digunakan.  Dengan ini, orang yang tidak tahu koding HTML juga boleh menghasilkan e-learning. (Baharuddin Aris, 2001)  Seterusnya program e-learning telah dikembangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan perisian WebCT semenjak semester II sesi 2001/2002. Alamat e-learning bagi perisian WebCT ialah http://webct.utm.my.  Walau bagaimanapun, kos naik taraf bagi perisian WebCT adalah tinggi dan lesen tahunannya juga semakin meningkat setiap tahun.  Dengan yang demikian, UTM telah mengambil keputusan untuk menggunakan perisian sumber terbuka (open source) iaitu Moodle sebagai platform e-learning yang baru mulai semester II sesi 2004/05.  (Mohamed Noor Hassan, 2004)  Salah satu kebaikan utama aplikasi yang baru ini ialah ianya direkabentuk berasaskan kepada pendekatan konstruktivisme iaitu memberi peluang kepada pelajar untuk membina dan menimba ilmu pengetahuan melalui aktiviti perkongsian maklumat dan perbincangan di atas talian.  Oleh itu, perisian ini boeh dikatakan menggalakkan pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar, (Buletin P&P, 2005).

Perisian Sumber Terbuka Moodle
Menurut Mohamad Hassan, et al. (2005), Moodle (Modular Object Oriented Dynamic Learning Environment) merupakan sebuah Sistem Pengurusan Kursus (CMS - Course Management System) yang menawarkan perkhidmatan untuk membangunkan kursus atas talian yang bermutu secara percuma. Selain itu, Moodle dalam moodle.org (2005), telah ditakrifkan sebagai satu pakej perisian sumber terbuka yang percuma dan direka bentuk untuk membantu pendidik membina kursus atas talian yang berkualiti atau dikenali sebagai e-learning. Sistem-sistem e-learning yang sedemikian kadangkala juga dipanggil sebagai Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS - Learning Management Systems), Persekitaran Pembelajaran Virtual (VLE - Virtual Learning Environments) atau pendidikan atas talian (Online Education).  Salah satu kelebihan Moodle berbanding sistem lain adalah kekuatannya dalam rekabentuk pengajaran dan pedagogi.  Ianya telah direka bentuk di bawah pengaruh teori pendidikan seperti konstruktivisme sosial (Dougiamas, Martin, 2005).  Antara ciri-ciri utama yang terdapat di Moodle adalah Forum, Chat, Resources, Quiz, Assignment, Survey, Grades, Journal, Calendar, Glosary, dan Workshop.

METODOLOGI
Dalam kajian ini, jumlah populasi ialah 300 orang yang terdiri daripada semua pelajar tahun lima yang menuntut di Fakulti Pendidikan, UTM yang mengambil subjek Pembangunan Multimedia Berasaskan CD-ROM (SPT 4432) atau subjek Pembangunan Multimedia Berasaskan Web (SPT 4443/ SPM 4342) pada semester I sesi 2005/2006.  Saiz sampel yang dipilih adalah berdasarkan kepada kaedah Krejcie dan Morgan (1970).  Daripada Jadual Penentuan Saiz Sampel Krejcie dan Morgan, didapati jika jumlah populasi sebanyak 300 orang, maka sampel yang disyorkan ialah 169 orang.  Dari sini, kita mengetahui bahawa peratus sampel ialah 56.33 %.  Dengan itu, bilangan sampel bagi setiap kursus boleh dikira.

Jadual 1: Sampel dan populasi mengikut kursus dan subjek

Subjek
Kursus
Populasi Kursus
Bilangan Sampel
Pembangunan Multimedia Berasaskan CD-ROM
SPI
11
6
SPK
25
14
SPL
32
18
SPN
28
16
SPP
28
16
SPS
17
9
SPT
39
22
Jumlah
180
101
Pembangunan Multimedia Berasaskan WEB
SPK
22
12
SPL
10
6
SPN
16
9
SPP
30
17
SPS
10
6
SPT
32
18
Jumlah
120
68
Jumlah Keseluruhan
300
169

Instrumen kajian yang digunakan dalam tinjauan ini adalah berbentuk soal selidik. Soal selidik yang dibina oleh pengkaji terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian 1 merupakan demografi pelajar yang  bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai latar belakang responden. Bahagian 2 pula merupakan soalan-soalan yang tertumpu kepada faktor-faktor penggunaan e-learning.  Terdapat lima konstruk dalam bahagian ini iaitu isi kandungan, inisiatif pelajar, inisiatif pensyarah, kegunaan, kesenangan untuk diguna dan reka bentuk e-learning.  Sejumlah 33 item soalan yang ditanya dalam bahagian ini.  Soalan bahagian ini merupakan soalan skala kadar yang menggunakan kaedah Likert lima mata.  Bahagian 3 pula mengandungi satu konstruk dengan lima item dan satu soalan terbuka.  Bahagian konstruk merupakan persoalan mengenai masalah yang dihadapi oleh pelajar semasa menggunakan e-learning.  Bahagian soalan terbuka cadangan pelajar terhadap penambahbaikan pelaksanaan pembelajaran e-learning  di UTM. 

HASIL KAJIAN
Min Keseluruhan Faktor-faktor Penggunaan E-learning
Merujuk kepada persoalan kajian pertama, faktor-faktor penggunaan e-learning telah dikaji dari enam aspek iaitu isi kandungan e-learning, inisiatif pelajar, inisiatif pensyarah, kegunaan, kesenangan untuk diguna dan reka bentuk e-learning. Berdasarkan kepada Jadual 2, didapati faktor isi kandungan memberikan nilai tertinggi iaitu 3.79 berbanding dengan faktor kegunaan yang menyumbang kepada faktor terendah terhadap penggunaan e-learning iaitu 3.38.

Jadual 2: Min keseluruhan bagi faktor–faktor penggunaan e-learning

Faktor
Isi Kandungan
Inisiatif Pelajar
Inisiatif Pensyarah
Kegunaan
Kesenangan Untuk diguna
Rekabentuk
E-learning
Min Keseluruhan
3.79
3.42
3.51
3.38
3.69
3.63

Perbezaan Signifikan Bagi Faktor Demografi Seperti Jantina, Kursus Dan Subjek
Berdasarkan kepada persoalan kajian kedua, penyelidik mengenal pasti perbezaan signifikan bagi faktor demografi pelajar terhadap penggunaan e-learning iaitu jantina (lelaki dengan perempuan), kursus (Sarjana Muda Sains dan Komputer Serta Pendidikan dengan Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan), dan subjek (Pembangunan Multimedia Berasaskan CD-ROM dengan Pembangunan Multimedia Berasaskan Web).  Keputusan analisis ditunjukkandi Jadual 3.

Jadual 3: Ujian-t bagi membandingkan min antara lelaki dengan perempuan
Jantina
Nilai Signifikan (dua arah)
N
(Kekerapan)
Min
Sisihan Piawai
Lelaki

Perempuan

0.610
31

138
3.6119

3.5657
0.4062

0.4663

Jadual 4:  Ujian-t bagi membandingkan min antara kursus
Kursus
Nilai Signifikan (dua arah)
N
(Kekerapan)
Min
Sisihan Piawai
Sarjana Muda Sains dan Komputer Serta Pendidikan
(SPK, SPP dan SPP)

Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (SPL, SPN dan SPS)



0.807

99



64

3.5559



3.5739

0.4167



0.5195

Jadual 5: Ujian-t Bagi Membandingkan Min Antara Subjek Pembangunan Multimedia
Berasaskan CD-ROM dengan Web
Subjek
Nilai Signifikan (dua arah)
N
(Frekuensi)
Min
Sisihan Piawai
Pembangunan Multimedia Berasaskan CD-ROM

Pembangunan Multimedia
Berasaskan Web


0.007

101


68

3.4974


3.6881

0.4373


0.4602

Cadangan Pelajar Untuk Meningkatkan Keberkesanan Penggunaan E-Learning di UTM
Bahagian ini adalah berkaitan dengan cadangan-cadangan yang diberikan oleh pelajar untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan e-learning UTM.  Cadangan-cadangan yang diberikan oleh responden adalah seperti berikut.

a)       Mengurangkan masalah server down supaya e-learning boleh diakses pada bila-bila masa.
b)      Semua pensyarah kerap mengguna dan mengemas kini maklumat bagi subjek yang diajar.
c)       Semua pensyarah menjadikan e-learning sebagai salah satu sumber penyampaian maklumat           di dalam kelas.
d)      Setiap bilik bagi semua kolej kediaman pelajar dipasangkan kemudahan Internet.
e)       Pelajar boleh mengakses matapelajaran lain selain daripada matapelajaran yang diambil.
f)        Semua seksyen bagi subjek yang sama digabungkan supaya pelajar boleh berkongsi maklumat dengan pelajar daripada seksyen lain.
g)      Memperbaiki reka bentuk e-learning supaya menjadi lebih interaktif.
h)       Memperbaiki antaramuka e-learning supaya menjadi lebih kreatif, menarik dan cantik.
i)         Pensyarah memaklumkan pelajar apabila nota baru dimasukkan supaya pelajar tidak perlu masuk   e-learning setiap hari.
j)         Pensyarah memuat naik nota sebelum memulakan sesuatu subjek supaya pelajar boleh membuat persedian awal.
k)       Mengadakan pertandingan di e-learning untuk menarik minat pelajar menggunakan e-learning.
Kesimpulan
Daripada enam faktor penggunaan e-learning yang dikaji, faktor yang mempunyai min yang paling tinggi adalah isi kandungan iaitu 3.79.  Ini menunjukkan bahawa isi kandungan yang terdapat di laman e-learning UTM telah mempengaruhi pelajar untuk menggunakannya.  Hasil dapatan ini disokong oleh pandangan sarjana Kearsley, Greg (2000) yang mengatakan bahawa isi kandungan bagi sebarang kursus yang dikendalikan di atas talian merupakan aspek yang paling penting untuk menarik minat pelajar.  Selain itu, Ismail Zain (2002) juga berpendapat bahawa isi kandungan dalam laman e-pembelajaran merupakan salah satu kriteria yang penting dan memberi kesan dalam pembelajaran.  Faktor yang mempunyai nilai min yang kedua tinggi adalah faktor kesenangan untuk diguna iaitu 3.69. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa laman e-learning UTM adalah senang untuk diguna dan dapat mempengaruhi pelajar untuk menggunakan e-learning.  Menurut Fred D. Davis (1989), kesenangan penggunaan bagi sesuatu sistem mampu mendorong seseorang untuk menggunakannya.  Selain itu, Shank dan Sitze (2004) juga berpendapat bahawa jika kursus di atas talian senang untuk dinavigasi, maka ini membolehkan orang yang tidak berkemahiran dan berpengalaman untuk menggunakannya. 

Seterusnya faktor reka bentuk. mempunyai min keseluruhan pada tahap yang baik iaitu 3.63.  Ini menunjukkan bahawa reka bentuk laman e-learning UTM adalah baik dan mampu mempengaruhi pelajar untuk menggunakan e-learning.  Namun demikian, pihak pengurusan masih perlu mengambil kira ruang yang masih boleh dipertingkatkan untuk menghasilkan reka bentuk yang lebih menarik.  Hal ini demikian kerana menurut Lynch, Marguerita (2002), pelajar akan menjadi ghairah dan tertarik dengan e-learning jika antaramuka e-learning direkabentuk dengan menarik dan teratur.  Inisiatif pensyarah juga merupakan salah satu faktor yang berpengaruh dalam penggunaan e-learning.  Min keseluruhan bagi faktor ini adalah 3.51 dan berada pada tahap yang kuat.  Ini menunjukkan bahawa pensyarah juga memainkan peranan yang penting dalam memotivasikan pelajar untuk menggunakan e-learning.  Ini adalah selaras dengan pandangan sarjana Kearsley, Greg (2000) yang menyatakan bahawa penglibatan instruktor atau pensyarah merupakan salah satu faktor yang kuat mempengaruhi penyertaan pelajar dalam kelas atas talian.  Bagi faktor inisiatif pelajar, min keseluruhannya adalah berada pada tahap yang kuat walaupun nilai minnya (3.42). Ini selaras dengan ulasan kajian Concannon, et al. (2005), melaporkan bahawa inisiatif individu merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada penggunaan e-learning.  Menurut dapatan kajian Zuraini Zakaria, et al.(2000) di Universiti Sains Malaysia (USM) pula, menunjukkan bahawa faktor utama yang mendorong pelajar dalam pembelajaran adalah diri pelajar sendiri.

Faktor yang mempunyai min terendah dalam kajian ini adalah kegunaan iaitu hanya 3.38.  Walaupun nilai min faktor ini merupakan min terendah tetapi ia masih berada pada tahap kuat yang mendekati tahap sederhana.  Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan e-learning memberikan kegunaan kepada pelajar seperti ia fleksibel dari segi masa capaian dan menjimatkan masa.  Bagi faktor demografi jantina, hasil kajian menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara responden lelaki dengan responden perempuan terhadap faktor penggunaan e-learning. Manakala faktor demografi kursus pula, hasil kajian menunjukkan bahawa nilai signifikan dua arah yang diperolehi iaitu 0.807 menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara responden yang mengambil kursus Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan dengan responden kursus Sarjana Muda Sains dan Komputer Serta Pendidikan terhadap faktor penggunaan e-learning.  Walaubagaimanapun, bagi faktor demografi subjek, nilai signifikan dua arah yang diperolehi (0.007) menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara responden yang mengambil subjek Pembangunan Multimedia Berasaskan CD-ROM dengan responden yang mengambil subjek pembangunan multimedia berasaskan Web terhadap faktor penggunaan e-learning.  Hal ini berlaku kerana kebanyakan pelajar yang mengambil subjek Pembangunan Multimedia Berasaskan Web mengatakan bahawa mereka perlu mendapatkan bahan dan maklumat tambahan daripada capaian lain yang diberikan oleh pensyarah mereka.  Dengan itu, mereke perlu selalu mengakses dan menggunakan e-learning bagi subjek tersebut. 

Seterusnya, dalam mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar semasa menggunakan e-learning, hasil kajian menunjukkan bahawa min keseluruhan bagi masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar ialah 2.75 iaitu berada pada tahap masalah sederhana. Perkara ini berlaku kerana kebanyakan pelajar yang tinggal di kolej tidak mempunyai kemudahan talian Internet di bilik sendiri terutamanya pelajar yang tinggal di blok lama kolej. Selain itu, pelajar menghadapai masalah untuk meluangkan masa yang lebih untuk mengakses e-learning.  Hal ini menunjukkan bahawa terdapat sebilangan pelajar yang kurang mahir dan perlu meluangkan masa yang lebih untuk mengakses e-learning.  Bahagian cadangan pula, kebanyakan responden telah mencadangkan bahawa masalah server down perlu diatasi supaya e-learning boleh diakses pada bila-bila masa.  Tambahan pula, responden juga mencadangkan agar semua pensyarah kerap mengguna dan mengemas kini maklumat bagi subjek yang diajar.  Selain itu, semua pensyarah juga dicadangkan supaya menjadikan e-learning sebagai salah satu sumber penyampaian maklumat di dalam kelas.  Malah setiap bilik bagi semua kolej kediaman pelajar dicadangkan supaya dipasangkan kemudahan Internet.  Keseluruhannya, kerjasama dan keperihatinan daripada semua pihak yang terlibat adalah penting demi menjayakan pelaksanaan e-learning dan merealisasikan wawasan negara untuk maju dan menghadapi arus globalisasi teknologi negara dalam pendidikan Malaysia.
Daftar Pustaka
Baharuddin Aris (2001). “Universiti Teknologi Malaysia’s teacher education students learning about ICT using ICT.” Technology for Teacher Training. 2, pp. 112-118.
Broadbent, Brooke. (2002). “ABCs of E-learning reaping the benefits & avoiding the pitfalls.” San Francisco: Jossey-Bass.
Concannon, Fiona., Flynn, Antoinette. & Campbell, Mark. (2005). “What campus students think about the quality & benefits of e-learning.” British Journal of Educational Technology. 36, pp. 501-512.
Chong, Sei Khong. (2002). “Penilaian Persepsi Pelajar Dewasa Terhadap E-learning di Meteor Distance Learning Sdn Bhd.” Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.
Davis, Fred D. (1989). “Perceived usefulness, perceived ease of use, & user acceptance of information technology.” MIS Quaterly. 13, pp. 319-340.
Dougiamas, Martin. (2005). “An Introduction to Moodle.” dalam talian http://Opensourcecms.com. Retrieved on 28 July 2005.
Hassan Said (2002). “Government & E-learning:Harnessing e-learning Values in the Education Sector.” Paper Presented at National Conference on Electronic Learning 2002, Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur.
Ismail Zain (2003). “Pelajar Cemerlang: Melangkah Ke Alam Siber.” Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Jamaludin Mohaiadin (2000). “Kesedaran & Kefahaman Pembelajaran Maya” dlm. “Prosiding Konvensyen Pendidikan UTM 2000.” Skudai: Universiti Teknologi Malaysia. Kertas kerja,
pp. 3-16.
Kearsley, Greg., Lynch, William. & Wizer, David. (1995). “The effective & impact of online learning in graduate education.” Educational Technology, pp. 37-42.
Lynch, Marguerita (2002). “The Online Educator.” London & New York: Routledge Falmer.
Mohamed Noor Hassan et al (2000). “Penyelidikan Pembangunan E-learning Di UTM.” dlm. “Konvensyen Pendidikan UTM 2000.” Kertas kerja. pp. 1-11.
Mohd Salleh et al. (Eds). (2005). “Perisian Baru E-learning.” Buletin P & P. Edisi Jan-Mac 2005. Skudai: Pusat Pengajaran & Pembelajaran.
Mosher, Bob. (2005). “E-learning’s Greatest Legacy.” Chief Learning Officier. 4. 14. Education, Volume 3, 2004, pp. 173-188.
Mohd Fadzli Ali, Zaidatun Tasir, Baharuddin Aris & Mohd Nihra Haruzuan Mohd Said (2005). Developing an Effective Collaborative E-Learning in Complementing Traditional Face-To-Face Learning Environment in UTM, International Symposium on E-Learning 2005, 25-26 July 2005, UMS Sabah, Malaysia.
Shank, Patti & Sitze, Amy (2004). “Making Sense of Online Learning.” San Francisco: Pfeiffer.
Shea-Schultz, Heather. & Fogarty, John (2002). “Online Learning Today.” San Francisco: Berrett-Koehler Publishers, Inc.













.