Integrasi pengajaran literasi maklumat | pelajaran bahasa inggris dan sains



Banyak telah diperkatakan tentang fungsi PSS (PSS) yang tidak digunakan sepenuhnya untuk membantu proses pembelajaran pelajar. Melalui Projek Semarak PSS yang dilaksanakan di PPD Padang Terap/Pendang, PSPN Kedah, IPDA dan PPD Padang Terap/Pendang telah membuktikan yang PSS adalah sebagai satu entiti yang sangat  penting. Projek ini dilaksanakan berdasarkan bukti yang menunjukkan penggunaan pusat sumber di daerah ini tidak menggalakkan dan proses pengajaran pembelajaran tidak disokong dengan bahan-bahan di PSS.  Melalui projek ini pengajaran literasi maklumat diintegrasikan dalam subjek Sains dan Bahasa Inggeris. Modul pengajaran dibangunkan untuk membantu guru-guru mata pelajaran dan guru media dalam menerapkan literasi maklumat merentas kurikulum. Model literasi maklumat The Big Six™, Pengajaran Berasaskan Sumber dan Pengajaran Kolaboratif merupakan tunjang kepada projek ini.


Makalah oleh: Faisal Haji Mohamad
Pendahuluan--dan latar belakang Masalah
PENDAHULUAN
Walaupun perkembagan pesat teknologi maklumat serta perkembangan dunia ilmu, PSS masih lagi menjadi tempat untuk meminjam dan membaca buku sahaja. Fungsi  PSS dan juga perpustakaan sekolah tidak digerakkan sepenuhnya untuk berlaku proses pengajaran dan pembelajaran. PSS tidak menjadi satu perkhidmatan yang integral di sekolah. Oleh itu PSS dewasa ini perlu bergerak lebih jauh lagi dan perlu meluaskan peranannya selain daripada konsep sebagai tempat membaca dan membuat rujukan sahaja. Pusat maklumat ini perlu mencerminkan serta memberi manifestasi kepada berlakunya proses dan amalan pedagogi seperti kolaboratif, pembelajaran aktif, pembelajaran koperatif, inkuari penemuan, pembelajaran berasaskan sumber dan juga proses pembelajaran yang mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran melalui persekitaran yang kaya dengan teknologi.

LATAR BELAKANG PROJEK SEMARAK PSS
Menurut Talib & Jamaludin (2005), kebanyakan PSS di negeri Kedah yang wujud sekarang kurang memainkan peranannya dengan berkesan dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut mereka salah satu punca utama adalah kerana kurangnya penumpuan oleh pihak pentadbir sekolah tentang fungsi dan peranan sebenar  PSS. Kita dapati senario yang wujud pada masa ini ialah:

i.       PSS digunakan hanya sebagai tempat untuk membuat bacaan ringan.
ii.       Penggunaan  bahan sumber tidak disepadukan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
iii.      Fungsi PSS tidak diintegrasikan dengan kurikulum untuk pencapaian akademik.
iv.      Guru-guru tidak melihat PSS sebagai ’nukleus’ bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
v.      Penggunaan media masih diperingkat ABM (alat bantu mengajar).
vi.      PSS tidak menjalankan fungsinya untuk membantu menangani ledakan maklumat dan menghadapi dunai K-ekonomi.

Selain daripada senario yang berlaku pada PSS, pelajar juga didapati menghadapi beberapa kelemahan dari segi kemahiran mereka dalam mencari dan mengaplikasikan maklumat. Mereka hanya diajar ilmu  pengetahuan mata pelajaran, tetapi kemahiran maklumat tidak diajar dan didedahkan kepada mereka secara serius dan bersistem. Antara isu-isu pembelajaran pelajar ialah:

i.       Mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian terhadap maklumat yang diperoleh.
ii.       Mereka tidak berupaya untuk membuat sintesis (gabungan) maklumat atau pengetahuan.
iii.      Mereka menghadapi kesulitan untuk membina hujah serta mencari bukti.
iv.      Mereka gagal dalam membuat  refleksi secara kritikal tentang maklumat yang telah dipelajari atau diperoleh.

Kalau diteliti dengan isu pembelajaran di atas, kita dapati pelajar-pelajar kini perlu belajar dalam situasi maklumat yang perlu dicapai dengan cepat dan maklumat yang sentiasa berubah (constantly changing). Pelajar-pelajar ini sebenarnya perlu didedahkan dengan kemahiran mengurus limpahan maklumat dan menjadikan pembelajaran mereka itu lebih bermakna (meaningful learning). Menyedari akan hakikat ini, pihak Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kedah (PSPN) dan Institut Perguruan Darulaman (IPDA) telah memulakan beberapa siri perbincangan untuk mengatasi permasalahan itu pada tahun 2002 dan 2003. Sehinggalah pada pertengahan tahun 2003, kedua-dua pihak ini telah mengilhamkan satu projek untuk menggalakkan penggunaan PSS. Projek ini yang dinamakan Projek Semarak PSS dijadikan sebagai satu landasan untuk membantu menerapkan kemahiran literasi maklumat melalui mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris pada awal bulan Oktober 2003. Penerapan komponen literasi maklumat melalui kedua-dua mata pelajaran ini dibolehlah dianggap sebagai satu usaha penerapan literasi maklumat merentas kurikulum.

Bagi menjayakan projek ini, satu modul pengajaran telah dibangunkan untuk membantu guru-guru melaksanakan penerapan literasi maklumat dalam pengajaran mereka. Modul pengajaran literasi maklumat ini dibangunkan oleh guru-guru mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris dengan bantuan pensyarah-pensyarah IPDA yang bertindak sebagai pemudahcara. Modul Projek Semarak PSS ini menggunakan pendekatan penyelesaian masalah berasaskan satu model literasi maklumat The Big Six™ oleh Eisenberg  & Berkowitz (1990) dan juga pengajaran berasaskan sumber (resource-based learning). Modul tersebut telah mula dilaksanakan di 15 buah sekolah (12 buah sekolah rendah dan tiga buah sekolah menengah) mulai sesi pengajian Januari 2004. Pembinaan dan penulisan modul ini telah melalui beberapa fasa (Tahun 2003 hingga 2006). Sebagai satu usaha ke arah penambahbaikan kualiti modul, pihak PSPN dan IPDA telah melaksanakan beberapa perubahan terhadap format modul tersebut. Beberapa elemen baru dimasukkan untuk memperkukuhan lagi kualiti modul ini.


RASIONAL PROJEK SEMARAK PSS
PSS  perlu menyediakan persekitaran  pembelajaran yang berkesan dan kondusif dengan melengkapkan buku bacaan dan rujukan serta mempelbagaikan sumber pembelajaran. Melalui usaha ini pihak sekolah dapat memberi peluang kepada semua warga sekolah melatih diri menjadi pemikir yang kritikal dan pengguna maklumat yang efektif (Talib & Jamaludin, 2005).  Oleh itu pelajar-pelajar dan guru-guru perlu diberi peluang yang luas  untuk menggunakan pelbagai media untuk mereka memperolehi maklumat yang mereka kehendaki.  Satu faktor yang penting yang perlu kita ambil perhatian adalah penekanan mesti diberikan kepada hubungan antara kemahiran maklumat dengan pencapaian akademik pelajar.  Kecemerlangan akademik tanpa disepadukan dengan kemahiran literasi maklumat yang cukup  tidak dapat membentuk pelajar yang  berketerampilan kerana literasi maklumat amat berguna dalam proses pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning). 

Melalui  Projek Semarak PSS ini, pengajaran dan pembelajaran dilaksana berpandukan kepada penggunaan modul pengajaran. Modul ini yang berasaskan  kepada penggunaan sumber-sumber maklumat menggabungkan serta menerapkan kemahiran maklumat sejajar dengan dengan tahap pencapaian akademik pelajar. Tetapi komponen-komponen kemahiran literasi maklumat tidak akan berjaya tanpa diintegrasikan dalam mata pelajaran. Oleh itu, guru-guru mata pelajaran memainkan peranan penting disamping guru-guru media dan perpustakaan.

MATLAMAT DAN OBJEKTIF PROJEK SEMARAK PSS
Matlamat projek adalah untuk memberi peluang kepada guru-guru mata pelajaran mempelbagaikan strategi pengajaran dengan mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengaplikasikan kemahiran-kemahiran literasi maklumat dalam proses pengajaran pembelajaran. Guru-guru dikehendaki untuk tidak terikat sepenuhnya dengan `kempat-empat dinding` bilik darjah. Mereka bebas untuk menggunakan sumber di luar bilik darjah. Ini sesuai dengan konsep PSPN Kedah yang berpegang kepada konsep Sekolah Sebagai Pusat Sumber. Justeru, proses pengajaran pembelajaran akan menjadi lebih menarik serta memberi impak positif terhadap penggunaan PSS dalam pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian akademik pelajar. Empat objektif telah dikenal pasti untuk menjadi hala tuju Projek Semarak PSS ini. Keempat-empat objektif tersebut adalah:-

i.       Mengenal pasti kemahiran-kemahiran Literasi Maklumat yang sesuai untuk diterap melalui penggunaan Modul Literasi Maklumat Semarak PSS.
ii.       Membantu guru-guru mata pelajaran dan guru-guru media sekolah menerapkan literasi maklumat melalui permuafakatan.
iii.      Membantu guru-guru mata pelajaran mengoptimumkan penggunaan sumber dan bahan pembelajaran di PSS.
iv.      Mewujudkan persekitaran pembelajaran di PSS supaya dapat menjadi nadi kepada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

KONSEP LITERASI MAKLUMAT
Literasi maklumat adalah satu set keupayaan yang membolehkan seseorang itu menggunakan sumber-sumber maklumat yang berkualiti untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Set keupayaan itu adalah keupayaan untuk mengenal pasti maklumat, mencari maklumat, mengesan, menilai dan menggunakan maklumat. Individu yang celik maklumat bermakna ia mempunyai semua kemahiran yang diperlukan untuk meneroka ilmu pengetahuan secara bebas, kendiri dan aktif. Literasi maklumat menjadi asas kepada pendidikan sepanjang hayat. Kemahiran ini adalah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam setiap disipilin ilmu, setiap tahap persekitaran pembelajaran dan pada setiap tahap pendidikan. Menurut American Library Association (1986),“...to be information literate, a person must be able to recognize when information is needed and have the ability to locate, evaluate, and use effectively the needed information...”. Oleh itu, pelajar yang celik maklumat adalah pelajar yang berupaya untukmenguasai kelapan-lapan kemahiran berikut:-

i.       Mengenal pasti dan menyampaikan maklumat yang diperlukan;
ii.       Merangka strategi carian maklumat yang berkesan;
iii.      Memilih dan menggunakan alat untuk mendapatkan semula maklumat;
iv.      Mengesan dan mendapatkan sumber maklumat;
v.      Analisis dan menilai maklumat secara kritis;
vi.      Menyusun dan mensintesis maklumat;
vii.     Mengguna dan mengaplikasikan maklumat melalui pemikiran yang kritikal dan kemahiran penyelesaian masalah;
viii.    Memahami perkembangan teknologi maklumat dan aspek yang berkaitan seperti hak cipta dan bertanggung jawab ke atas hak intelektual (College & Research Libraries News,  May 1998).

PENGAJARAN LITERASI MAKLUMAT
Penguasaan kemahiran-kemahiran literasi maklumat boleh dilaksanakan melalui proses pengajaran yang disusun dengan baik, mengoptimumkan penggunaan sumber pembelajaran dan juga melalui pemaufakatan guru. Seseorang guru mata pelajaran atau guru media boleh menerapkan literasi maklumat melalui pengajaran literasi maklumat itu secara tersendiri atau pun pengajaran literasi maklumat itu boleh diintegrasikan ke dalam satu mata pelajaran.Pengajaran literasi maklumat secara terpisah atau pun secara berasingan  (stand-alone ataupun isolation) boleh dilaksanakan dengan mengajar kemahiran maklumat secara tersendiri dan tidak diterapkan dengan mana-mana unit dalam sukatan mata pelajaran. Guru-guru mata pelajaran atau guru media boleh mengajar kemahiran perpustakaan seperti mengesan bahan di perpustakaan, sistem pengkelasan, bahagian-bahagian buku, bahan-bahan rujukan (kamus, ensaiklopedia, indeks, glosari, almanak dll), kemahiran carian maklumat atas talian atau pun kemahiran belajar (mencatat nota, kemahiran membaca dll).

Pengajaran literasi maklumat juga boleh dilakukan secara integrasi. Kaedah ini  juga disebut sebagai penyebatian, bersepadu atau pun gabungan (integration). Pengajaran dalam kategori ini berlaku apabila kemahiran-kemahiran literasi maklumat disepadukan dengan atau pun diterapkan dengan isi kandungan mata pelajaran di dalam waktu mata pelajaran berkenaan. Kemahiran-kemahiran maklumat perlu dikenal pasti. Kemahiran yang didapati sesuai digunakan untuk memperoleh maklumat atau isi kandungan tentang sesuatu topik dan juga dalam proses penyelesaian masalah. Kedua-dua cara ini boleh dilaksanakan oleh guru mata pelajaran dan guru media. Walau bagaimana pun pendekatan secara integrasi difikirkan lebih sesuai. Menurut Woolls (2006a, ms. 2), ”...No longer are library or research skills taught in isolation. They are fully integrated into the curriculum. Libraries working collaboratively with teachers …”

Seperti yang dijelaskan diawal tadi aspek literasi maklumat boleh dikuasai melalui beberapa kemahiran seperti kemahiran perpustakaan, kemahiran belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi serta kemahiran-kemahiran lain. Kemahiran-kemahiran ini dapat diterapkan oleh guru melalui pengajaran yang lebih berpusatkan pelajar contohnya melalui pembelajaran berasaskan projek (project-based learning), dan pembelajaran berasaskan masalah (problem-based learning). Pendekatan pembelajaran ini didapati lebih berpusatkan pelajar. Guru akan berjaya memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang telah sedia ada pada pelajar untuk menjadi mereka pelajar yang aktif dalam proses pembelajaran. Bagi mencapai matlamat ini, guru media perlu melihat dan mengubah peranan mereka daripada bertindak secara sendirian kepada satu pendekatan yang lebih menyeluruh. Guru media dan guru mata pelajaran akan bertindak sebagai pemangkin kepada proses pembelajaran ini. Persoalan akan timbul bagaimana guru boleh berjaya membentuk pelajar yang aktif untuk menyelesaikan masalah dalam proses pembelajaran mereka.  Guru dan juga guru media perlu bertindak sebagai role model dalam menerapkan serta membentuk pemikiran pelajar dalam proses membentuk pelajar yang celik maklumat (Streatfield & Markless, 1994). Ringkasnya, guru berperanan penting untuk menggunakan strategi tersebut untuk menerapkan corak penyelesaian masalah dikalangan pelajar.

PENGAJARAN PEMAUFAKATAN (KOLABORASI)
Pengajaran dan pembelajaran literasi maklumat secara integrasi boleh dilakukan oleh guru mata pelajaran dengan kerjasama guru media sekolah. Pendekatan berpusatkan pelajar memerlukan pelajar lebih banyak menggunakan sumber dan dilatih bagimana menggunakan sumber itu secara lebih sistematik dan berkesan. Oleh itu kedua-dua, pakar sumber dan pakar isi kandungan memainkan peranan yang amat penting. Penyelaras akan bertindak sebagai perunding kepada pelajar dan guru. Situasi ini penting supaya maklumat serta sumber senang diperolehi dan dapat digunakan oleh pelajar untuk menyelesaikan masalah, dan digunakan mengikut kaedah dan pendekatan yang betul. Guru pula sebagai pakar isi kandungan akan dibantu oleh guru media untuk menerapkan isi kandungan melalui sumber-sumber yang telah dikenal pasti sebelumnya. Guru akan memastikan gaya pembelajaran yang menggunakan pendekatan berasaskan sumber akan memberi kesan yang positif serta signifikan kepada proses pembelajaran pelajar.

PEMBELAJARAN BERASASKAN SUMBER (RESOURCE-BASED LEARNING)
Objektif utama pembelajaran berasaskan sumber adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk membentuk serta memperkembangkan kemahiran pembelajaran kendiri mereka (independent learning skills). Penggunaan serta kemampuan menggunakan sumber dapat membantu mereka menjadi pelajar sepanjang hayat (life-long learners). Oleh itu pembelajaran berasaskan sumber perlu dilaksanakan dalam setiap pembelajaran di kelas atau pun di luar kelas. Pelajar sekarang perlu menghadapi berbagai perubahan dalam era maklumat. Maklumat berkembang dengan begitu pesat sehingga sumber pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada apa yang terdapat dalam kurikulum sekolah saja. Persekitaran pembelajaran berasaskan sumber adalah kaya dengan maklumat berbanding dengan sumber tradisional. Persekitaran pembelajaran ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencapai maklumat yang lebih mendalam serta efisien dan  tidak terikat sepenuhnya kepada apa yang terdapat dalam bilik darjah sahaja (Vicki, 1993). Vicki menyatakan maklumat-maklumat yang diperolehi melalui kaedah ini dapat memupuk ciri-ciri pelajar yang aktif dan dapat mengawal proses pembelajaran mereka. Hujah ini disokong oleh Moore (1997) yang menyatakan bahawa, “...Resource-based learning activities have long been promoted as having potential in fostering independent learning...”.

Oleh itu, persekitaran yang kaya dengan maklumat memberi peluang kepada pelajar untuk memilih sumber-sumber yang sesuai dengan gaya pembelajaran mereka. Pelajar ini akan terus menjadi pelajar bermaklumat dalam proses pembelajaran sepanjang hayat. Justeru itu,  sekolah perlu menyediakan persekitaran ini dalam membantu pelajar menjadi pelajar bermaklumat dan juga ke arah pelajar berpendidikan sepanjang hayat. Bagi merealisasikan proses ini,  guru dan pelajar perlu mengakses pelbagai sumber pembelajaran sama ada dalam bentuk konvensional atau pun elektronik seperti atlas, bahan audio, buku, CD-ROM, ensaiklopedia, perisian komputer, kamus, rajah, dokumen, bahan pameran, lukisan, boneka,  permainan, majalah, bahan manipulatif, peta, model, bahan multimedia, bahan muzik, suratkhabar, gambar foto, poster, relia, rancangan televisyen, video dan lain-lain lagi. Dalam Projek Semarak PSS, pembelajaran berasaskan sumber mempunyai ciri-ciri seperti berikut:-

i.               Pelajar terlibat secara aktif dalam pembelajaran mereka;
ii.             Pengalaman pembelajaran dirancang berdasarkan objektif pembelajaran;
iii.            Strategi dan kemahiran pembelajaran dikenal pasti dan diajar dalam konteks yang releven, sesuai  dan bermakna;
iv.           Pelbagai sumber digunakan;
v.             Lokasi pembelajaran dipelbagaikan;
vi.           Guru dan guru media menggunakan pelbagai teknik pengajaran;
vii.          Guru dan guru media bertindak sebagai fasilitator yang memberi bimbingan, pemantauan dan penilaian berterusan terhadap perkembangan pencapaian pelajar;
viii.        Guru dan guru media perlu bekerja sama dalam melaksanakan pembelajaran berasaskan sumber.

Pengajaran dan pembelajaran berasaskan sumber tidak berfaedah jika persekitaran sekolah tidak kaya dengan sumber maklumat. Tetapi keperluan ini didapati tidak dapat dipenuhi oleh perpustakaan kerana kekurangan sumber (Lim, 2002). PSS perlu kaya dengan maklumat supaya guru-guru dapat menggunakan maklumat itu dalam pengajaran. Ini selaras dengan pendapat  Moore (1997) yang menyatakan maklumat adalah penting kepada guru dalam profesion mereka.

MODEL LITERASI MAKLUMAT
Terdapat banyak model literasi maklumat yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar literasi maklumat. Antaranya model-model yang dapat dikenal pasti adalah The Big Six™, Research Cycle, Infozone, The Research Process, The Alberta Model dan Action Learning Model. Woolls (2006b) pula menyenaraikan banyak lagi model literasi maklumat yang antaranya adalah seperti The British Model, Kuhlhau Model, The Plus Model dan lain-lain lagi. Diljit (2006) pula mengutarakan satu model yang agak baru untuk proses pencarian dan penggunaan maklumat yang dikenali sebagai Empowering 8. Dalam projek ini, Model The Big6™  oleh Eisenberg dan Berkowitz (1990) dipilih. Model ini adalah satu model yang sesuai untuk pendekatan penyelesaian masalah (Mohammed & Azizah, 2000). Menurut Eisenberg & Berkowitz (1990) keupayaan untuk menyelesaikan masalah adalah penting kepada pelajar. Mereka mengemukakan enam peringkat untuk menyelesaikan masalah secara sistematik, iaitu peringkat menentukan, mencari, memilih, mengguna, menyampai dan menilai maklumat. Menurut Mohammed & Azizah (2000) lagi, pendekatan The Big Six™  mendapat tempat di kalangan pakar-pakar dalam bidang literasi maklumat. Pendekatan penyelesaian masalah dalam model The Big Six™ dibahagikan kepada enam peringkat utama, iaitu:-

i.       Definisi Tugasan (Task Definition)
         Pelajar menentukan masalah dan mengenal pasti keperluan maklumat dalam  menyelesaikan masalah.
ii.       Strategi Mencari Maklumat (Information Seeking Strategies)
         Pelajar akan menentukan sumber-sumber maklumat terbaik, membina strategi pencarian maklumat dan membuat keputusan serta memilih sumber yang paling sesuai.         
iii.      Lokasi dan Akses (Location and Access)
         Dalam langkah ini pelajar akan mencari lokasi sumber dan mengakses maklumat.
iv.      Guna Maklumat (Use of Information)
         Pelajar akan membaca, mendengar, menonton dan lain-lain untuk memastikan kesesuaian maklumat itu. Maklumat yang sesuai dikenal pasti dan dikeluarkan serta digunakan secara terbaik.
v.      Sintesis (Synthesis)
         Pada peringkat ini pelajar akan menyusun maklumat secara teratur dan bersistem daripada pelbagai sumber yang dipilih tadi (menstruktur maklumat). Dan seterusnya pelajar akan mempersembahkan maklumat tadi.
vi.      Penilaian (Evaluation)

Pada langkah terakhir ini pelajar akan menilai hasil kerja terakhir mereka (effectiveness) dan menilai proses kerja mereka dalam mencari maklumat itu tadi (efficiency). Pelajar akan menentukan sama ada maklumat yang diperolehi menenepati kehendak tugasan yang telah diberikan. Mereka juga akan membuat refleksi bagaimana untuk mempertingkatkan serta menambah baik proses mencari maklumat pada masa hadapan.

MODUL PENGAJARAN LITERASI MAKLUMAT PROJEK SEMARAK
Modul ini adalah sebahagian daripada proses untuk menerapkan kemahiran-kemahiran literasi maklumat dalam mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris. Modul ini direka bentuk untuk membantu guru mata pelajaran dan guru media bekerja sama dan bermaufakat menerapkan kemahiran-kemahiran literasi maklumat. Modul ini seperti yang telah ditegaskan menggunakan pendekatan penyelesaian masalah mengikut model The Big Six™. Modul literasi maklumat ini menggariskan secara tersusun langkah-langkah yang guru perlu ikuti dalam menyediakan proses pengajaran mereka.

Modul ini disediakan sebagai panduan kepada guru dalam mengaplikasikan kemahiran literasi maklumat dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan Sains sekolah rendah dan menengah. Berbentuk modul pengajaran, guru mata pelajaran dan guru media akan menjadikan modul ini sebagai panduan kepada mereka untuk menerapkan aspek literasi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Modul ini disusun dalam bentuk topik dan unit kemahiran yang dipilih daripada sukatan pelajaran yang sesuai diaplikasikan dengan konsep literasi maklumat. Pendekatan modul ini adalah berkonsepkan pengajaran secara kolaboratif yang bertujuan untuk menerapkan kemahiran literasi maklumat di kalangan pelajar serta meningkatkan kefahaman pelajar melalui pengajaran berasaskan sumber. Melalui ketiga-tiga konsep ini (literasi maklumat, pengajaran kolaboratif dan pengajaran berasaskan sumber), diharap pelajar-pelajar dapat meningkatkan lagi tahap penggunaan pusat sumber dan seterusnya menjadi wahana kepada guru-guru mata pelajaran untuk menggunakan pusat sumber secara optimum dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Mutu serta tahap pencapaian pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran dapat dipertingkatkan dan seterusnya menyediakan pelajar yang boleh belajar secara kendiri dan pelajar yang mempunyai tahap literasi maklumat yang tinggi.

MODEL REKA BENTUK INSTRUKSI
Seperti juga projek-projek serta pembinaan modul pembelajaran kendiri, Modul Literasi Maklumat Projek Semarak PSS ini juga dipengaruhi oleh beberapa elemen penting dalam proses reka bentuk instruksi. Beberapa model reka bentuk instruksi dirujuk, antaranya adalah model reka bentuk  Kemp, Morrison dan Ross; model Dick and Carey; dan  model ADDIE. Daripada situ satu model reka bentuk yang asas telah dihasilkan untuk menjadi panduan dalam menghasilkan modul pengajaran literasi maklumat Projek Semarak PSS.  Model reka bentuk ini mempunyai elemen-elemen asas adalah seperti berikut:


KAJIAN-KAJIAN PENILAIAN
Bagi memantapkan lagi projek ini beberapa kajian serta pemantauan telah dilakukan untuk menilai serta memantau keberkesanan, mengawal kualiti modul serta mengawal selai projek ini oleh IPDA dan PSPN. Antara kajian yang dilakukan adalah kajian berbentuk kuantitatif dan  kualitatif. Satu kajian deskriptif telah dijalankan oleh Faisal & Nor Azian (2005) untuk meninjau tanggapan guru-guru terhadap literasi maklumat, kualiti modul, jenis-jenis kemahiran literasi maklumat yang diterapkan oleh guru-guru matapelajaran dan guru media serta masalah-maslah yang mereka hadapi. Kajian kualitatif juga dijalankan oleh Faisal &  Nor Azian (2006) pula untuk melihat respon serta penerimaan guru-guru media terhadap penerapan literasi maklumat, tanggapan serta masalah yang dihadapi oleh mereka. Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kedah pula telah menubuhkan satu pasukan pemantau yang terdiri daripada pegawai-pegawai PSPN.  Pemantau-pemantau ini telah melawat ke sekolah-sekolah projek untuk meninjau pelaksanaan projek tersebut dengan menggunakan satu set instrumen pemantauan pukal.  Laporan daripada pemantauan sangat positif (Talib & Jamaludin, 2005). Terdapat sekolah yang telah berjaya menggalakkan pelajar mereka mengakses bahan pembelajaran melalui laman web.

PENUTUP
Walau pun istilah literasi maklumat mula diperkenalkan oleh Paul Zurkowski sejak tahun 1974 lagi, dan  konsep serta aplikasi literasi maklumat telah lama diperkenalkan dalam bidang kepustakawanan dan juga mendapat tempat dalam dunia pendidikan tetapi pelaksanaannya dalam konteks pendidikan di Malaysia masih lagi terpencil. Namun ada usaha dilakukan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) tetapi penerimaannya dikalangan guru masih lagi rendah. Sebabnya, selagi komponen ini tidak dinyatakan dengan jelas (tersurat bukan tersirat) dalam sukatan pelajaran selagi itulah literasi maklumat ini akan terpinggir. Tetapi melalui perkembangan pendidikan bestari dewasa ini, beberapa kemahiran generi dalam komponennya menampakkan peluang serta laluan untuk literasi maklumat amat cerah. Ini nampaknya sehaluan dengan ALA (1986) yang menyatakan “Information competency includes consideration of the ethical and legal implications of information and requires the application of both critical thinking and communication skills”.

Projek Semarak PSS yang diusahkan oleh PSPN Kedah dan IPDA ini berpotensi untuk dikembangkan ke sekolah-sekolah lain dengan mengambil kira beberapa kekangan yang perlu diatasi.  Modul Literasi Maklumat ini boleh diketengahkan dengan beberapa perubahan untuk disesuaikan dengan persekitaran sekolah-sekolah tertentu.  Perkara yang amat penting dan kritikal yang perlu diambil kira jika inovasi ini hendak diteruskan atau dikembangkan adalah faktor penerimaan dan penolakan oleh pihak pentadbir dan pengurusan sekolah. Pengetua dan guru besar serta penolong-penolong kanan perlu diberi pendedahan secara bersistem dan berkala. Tahap penerimaan mereka juga perlu dikenal pasti. Kemudiannya barulah diambil kira keperluan, kerjasama antara guru mata pelajaran dan guru media serta agensi-agensi maklumat lain dalam membangunkan sumber supaya pelajar boleh mempelbagaikan proses pembelajaran mereka.
Daftar Pustaka
BIBLIOGRAFI
Abdul Talib bin Hj. Abdullah & Jamaludin Bin Izaham. (2005). Projek Semarak PSS. Persidangan Teknologi Pendidikan 2005. Bahagian Teknologi Pendidikan 14 November 2005, Port Dickson.
ALA (1986). Information literacy. http://www.ala.org/acrl/ilintro.html#ildef
Carol, S. (1996). The school librarian’s role in the electronic age. ERIC Digest. http://www.eduref.org/plweb-cgi/obtain.pl. 8/7/2004. College & Research Libraries News.
Curry, L.C. (2001). Proof of the power: Recent research on the impact of school library media programs on the academic achievement of U.S. public school students. ERIC Digest. http://www.eduref.org/plweb-cgi/obtain.pl. 8/7/2004.
Diljit Singh. (2006). Literasi maklumat: Keperluan kritikal dalam pendidikan hari ini bagi kejayaan hari esok. Seminar Penyelidikan Pendidikan. Literasi Maklumat Pemangkin Pengajaran Pembelajaran Berkualiti. Institut Perguruan Darulaman, Jitra. 27– 28 Jun 2006.
Eisenberg, M. & Berkowitz, L. (1990). Information problem-solving. The Big Six approaches to library and information skills instruction. New Jersey: Ablex
Eisenberg, M. & Johnson, D. (2002). Learning and teaching information technology: Computer skills in context. ERIC Digest. http://www.eduref.org/plweb-cgi/obtain. 8/7/2004.
Eric, P. (1999). Information literacy. Eric Digest.
            http:www.edurf.org/plweb-cgi/fastweb?getdoc+eduref+ericbd+1052594+1+wAAA. 7/8/2004
Faisal Mohamad & Nor Azian Darus. (2005). Pengajaran literasi maklumat merentas kurikulum di kalangan guru-guru sekolah Projek Semarak PSS di PPD Padang Terap/Pendang. Kajian BPG. Tidak diterbitkan.
Lim, Eng Hock. (2002). Kesan kemahiran maklumat bersepadu (KMB) terhadap pembelajaran geografi di peringkat sekolah menengah rendah. Tesis Sarjana. Universiti Sains Malaysia. Tidak diterbitkan.
Mohammed Sani Ibrahim & Azizah Wati Mohd. Noor. (2000). Literasi maklumat dan kemahiran maklumat: Pembelajaran sepanjang hayat. Jurnal Teknologi, 33 (E). ms. 53 – 68.
Moore, P. (1997). Teaching information problem solving in primary schools: An Information literacy survey. 63rd IFLA General Conference – Conference Programme and Proceeding – August 31 – September 5, 1997. http://www.ifla.org/IV/ifla63/63moop.htm. 13/11/2003.
Moore, P.A. (1997). Information problem-solving: A wider view of library skills. Journal of Contemporary Educational Psychology, 20, 1 -31.
Naisbitt, J. (1996). Megatrends Asia: The eight Asian megatrends that are changing the world. London: Nicholas Brealey Pub.
Streatfield, D. & Markless, S. (1994). Invisible learning? The contribution of school libraries to teaching and learning. Library and Information Research Report. London: British Library.
Toffler, A. (1980). The Third Wave. Toronto: Bantam Books. U.S. Department of Labor Secretary's Commission on Achieving Necessary Skills (SCANS).
Vicki, E.H. (1993). Information literacy for lifelong learning. ERIC Digest.
            http://www.edoref.org/plweb-cgi/obtain.pl. 8/7/2004.  What is resource-based learning?
Woolls, B. (2006a). Information literacy in the information age: Preparing students for their role in a global society. In Fuziah et al. (Eds.). (2006). International Conference on Information Literacy. Information Literacy and Kowledge Society: Development, Changes and Challenges. Proceeding of the International Conference in Information Literacy, 14 – 15 June 2006, Kuala Lumpur. (2006b). Development and implementation of concept models. In Fuziah et al. (Eds.). (2006). International Conference on Information Literacy. Information Literacy and Kowledge Society: Development, Changes and Challenges. Proceeding of the International Conference in Information Literacy, 14 – 15 June 2006, Kuala Lumpur.













.