Kertas kerja ini membincangkan tentang kesan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri (PBI) melalui Web terhadap persepsi pelajar. Seramai 136 orang pelajar yang mengikuti kursus ZCT 104 – Fizik Moden, sesi 2005/2006 yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia telah dipilih secara rawak untuk menjadi sampel dalam kajian ini. Reka bentuk instruksi yang digunakan dalam kajian ini adalah berdasarkan Model Inkuiri Suchman yang akan diaplikasikan penggunaannya melalui Sistem Program Pembelajaran (Learning Management System, LMS). Soal selidik jenis terbuka diberikan kepada pelajar selepas mereka didedahkan dengan rawatan PBI melalui Web untuk mengetahui persepsi mereka terhadap rawatan PBI melalui web ini. Persepsi mereka dikaji berdasarkan aspek hasil pembelajaran, kesesuaian, kelemahan dan kekuatan rawatan pembelajaran yang diberikan. Keputusan yang diperolehi daripada pelajar menunjukkan persepsi yang positif terhadap rawatan PBI yang merujuk pada aspek hasil pembelajaran, kesesuaian dan kekuatan. Untuk aspek kelemahan rawatan pula, pelajar berpendapat bahawa kelemahan yang wujud hanya berbentuk teknikal sahaja.
PENGENALAN
Penggunaan sistem berasaskan Web dalam bidang pendidikan hari ini mula menarik perhatian ramai pendidik. Sistem pendidikan berasaskan Web (Web-Based Education (WBE)) ini dikatakan memberi ruang untuk pengajar menyampaikan ilmu pengetahuan melepasi waktu kuliah, sekaligus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran berasaskan Web ini atau boleh juga dinyatakan sebagai pembelajaran yang menggunakan ICT dalam pembangunan pengetahuan di mana ICT atau teknologi maklumat dan komunikasi merupakan telekomunikasi yang termaju kini dan kelebihannya yang terdapat di ruangan siber boleh diaplikasikan untuk mempraktikkan rawatan pembelajaran. Pembelajaran berasaskan Web ini merupakan satu cara alternatif kepada sistem pembelajaran yang sedia ada di mana proses pembelajaran yang berlaku tidak semestinya secara bersemuka contohnya pembelajaran dalam talian.
Pembelajaran dalam talian merupakan suatu suasana pembelajaran yang menggunakan persekitaran rangkaian yang membolehkan pelajar mendapatkan maklumat, kemahiran dan pengetahuan dalam ruangan siber dan pembelajaran ini mampu menyokong pembelajaran berbentuk konstruktivisme yang mempunyai ciri seperti pembinaan pengetahuan adalah berpusatkan pelajar dan berinteraktif, guru berperanan sebagai fasilitator dan bukan sebagai pakar serta pelajar berperanan sebagai kolaborator yang aktif dan bukan hanya sebagai pendengar atau penerima pengetahuan yang pasif. Pembelajaran ini juga menggalakkan pemikiran kritis di kalangan pelajar dan melibatkan proses interaksi dan kolaboratif dalam penjanaan pengetahuan. Kajian ini akan mengintegrasikan Kaedah Inkuiri dalam WBE. Inkuiri ditakrifkan sebagai mencari kebenaran, maklumat atau pengetahuan di mana maklumat yang diperolehi adalah melalui persoalan. Pembelajaran berasaskan inkuiri adalah pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan sangat memerlukan kepada penyertaan aktif pelajar serta berdasarkan kepada teori yang mengambil kira apakah sebenarnya yang boleh dipelajari oleh seseorang pelajar mengikut tahap perkembangan intelek mereka (Marek et al., 1990). Persekitaran pembelajaran dan aktiviti pelajar disusun untuk menggalakkan pelajar mencari penjelasan kepada persoalan yang telah ditimbulkan dan menurut Martinello (1998), proses penyoalan merupakan pusat kepada semua kaedah inkuiri.
Pendekatan inkuiri merupakan satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang diutamakan di kalangan pendidik sains.Dalam strategi ini, inkuiri ialah satu proses di mana saintis dan pelajar mengemukakan soalan mengenai alam semula jadi dan membuat penyiasatan mengenai sesuatu fenomena. Pelajar dikehendaki membuat aktiviti penyelidikan di mana mereka berpeluang memperkembangkan daya pemikiran kreatif dan kritis serta memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran saintifik. Peranan guru yang bertindak sebagai fasilitator ialah menyediakan suasana inkuiri iaitu suatu suasana di mana pelajar perlu mencari jawapan kepada sesuatu fenomena. Matlamat umum kaedah inkuiri adalah untuk membantu pelajar mendirikan kemahiran serta disiplin intelektual dalam menimbulkan persoalan dan mencari jawapan kepada pertanyaan mereka. Perkara ini penting sebagai satu usaha untuk mengajak pelajar menjauhi penerimaan maklumat atau pengetahuan tanpa soal daripada mana-mana pihak. Hanya melalui penyertaan aktif dalam penyoalan dan penghujahan berkenaan sains, pelajar akhirnya akan mempunyai kesedaran bahawa sifat sains sebenarnya adalah tentatif dan tidak wujud jawapan yang kekal.
Model Inkuiri Suchman yang telah diperkenalkan oleh Richard Suchman akan digunakan dalam kajian ini dimana model ini berlandaskan kepada andaian bahawa strategi-strategi yang digunakan oleh ahli sains untuk menyelesaikan sesuatu masalah boleh juga digunakan sebagai model pengajaran dalam matapelajaran sains dan boleh diajar kepada pelajar serta naluri ingin tahu pelajar dapat dikembangkan melalui prosedur inkuiri.
Langkah-langkah Model Inkuiri Suchman adalah:
1. Kenal pasti masalah
2. Membina hipotesis bagi menyelesaikan masalah
3. Mengumpul data bagi menguji hipotesis yang telah dibina
4. Berdasarkan maklumat yang diperolehi uji hipotesis yang telah dibina
5. Membuat kesimpulan berdasarkan hipotesis yang telah diperolehi
OBJEKTIF KAJIAN
1. Mengkaji persepsi pelajar terhadap Pembelajaran Berasaskan Inkuiri (PBI) melalui Web
2. Mengkaji keberkesanan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri (PBI) melalui Web dalam proses pengajaran dan pembelajaran
3. Mengkaji penerimaan pelajar terhadap ciri-ciri pembelajaran PBI
4. Melihat kelemahan dan kekuatan rawatan laman Web PBI
5. Membangkitkan minat pelajar dalam proses pembelajaran secara dalam talian
PEMBANGUNAN LAMAN WEB PBI
Sistem Program Pembelajaran (Learning Management System, LMS) punca terbuka ‘Moodle’ digunakan dalam kajian ini sebagai platform penyampaian bahan pembelajaran. Turutan pembelajaran dalam laman Web PBI ini adalah mengikut ciri-ciri seperti berikut:-
a) Orientasi/pengenalan kepada PBI
b) Pendedahan masalah kepada pelajar
c) Kenalpasti masalah/isu pembelajaran
d) Membuat hipotesis awal berdasarkan masalah yang diberikan
e) Mengumpul maklumat daripada nota, pautan (links) dan perbincangan dalam talian (chat)
f) Berbincang semula mengenai hipotesis yang telah dikemukakan
g) Membuat kesimpulan
Paparan aktiviti pembelajran ditunjukkan di Rajah 1 - 4.
KAEDAH KAJIAN
Bahan pembelajaran yang disediakan dalam LMS punca terbuka ‘Moodle’ adalah topik yang bertajuk Zarah di dalam Kotak selartas dengan kurikulum ZCT 104 – Fizik Moden yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan Sains Fizik. Rawatan pembelajaran berdasarkan pendekatan PBI secara dalam talian diberikan kepada pelajar. Pelajar-pelajar tahun satu seramai 136 orang telah dipilih secara rawak daripada 456 orang pelajar yang mendaftar kursus ini. Semua pelajar secara berperingkat diberikan rawatan PBI secara talian selama satu jam setengah dan setelah rawatan, mereka akan diberikan soal selidik terbuka untuk mengetahui persepsi dan pandangan mereka terhadap pendekatan pembelajaran yang telah mereka lalui.
KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN
Hasil Pembelajaran
Jadual 1: Hasil pembelajaran bagi rawatan PBI
Bil | Hasil pembelajaran | Ya | |
N | % | ||
1 | Berkesan dan berfaedah | 86 | 23.06 |
2 | Wujud interaksi dan tahu apa yg dibincangkan | 78 | 20.91 |
3 | Menarik/senang/cepat faham | 71 | 19.03 |
4 | Dapat bertanya dan boleh tambah pengetahuan | 65 | 17.43 |
5 | Memuaskan dan sesuai | 52 | 13.94 |
6 | Dapat jimat masa/cepat/banyak yang diperolehi | 16 | 4.29 |
7 | Tidak berkesan | 5 | 1.34 |
KESELURUHAN | 373 | 100.0 |
Jadual 1 dan Rajah 5 di atas menunjukkan dapatan yang diperolehi daripada soal selidik terbuka bagi hasil pembelajaran PBI. Berdasarkan jadual dan graf di atas dapat dinyatakan bahawa kebanyakan respon yang diberikan oleh pelajar adalah respon yang positif. Hal ini menunjukkan bahawa pendekatan PBI diterima baik oleh pelajar sebagai salah satu kaedah pembelajaran baru yang dapat memberikan suatu kelainan dalam pembelajaran dan juga dapat dapat menambahkan pengetahuan sedia ada pelajar melalui kaedah PBI ini. Antara respon positif yang diberikan oleh pelajar adalah kaedah PBI ini sangat berkesan dan berfaedah dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Selain itu PBI juga menggalakkan pembelajaran secara kolaboratif dimana melalui kaedah ini, pelajar-pelajar dapat berinteraksi secara aktif antara satu sama lain. Hal ini menyebabkan mereka sentiasa tahu tentang perkara yang dibincangkan disebabkan oleh penglibatan mereka secara aktif dalam pembelajaran. Di samping itu juga, kaedah PBI juga mampu menarik minat pelajar dan dikatakan sesuai diaplikasikan dalam pembelajaran kerana kaedah ini mudah diikuti serta dapat menjimatkan masa kerana melalui kaedah ini mereka akan menjadi cepat faham tentang sesuatu perkara yang dibincangkan dan diajarkan. Selain daripada respon yang positif, terdapat juga respon yang negatif daripada pelajar berkaitan dengan hasil pembelajaran PBI ini. Terdapat pelajar yang mengatakan bahawa pendekatan PBI ini tidak berkesan dan tidak sesuai. Hal ini mungkin disebabkan oleh mereka lebih selesa dengan kaedah pembelajaran yang lama berbanding dengan kaedah pembelajaran baru dan tidak merasa selasa dengan sebarang perubahan yang terdapat dalam proses P&P.
Kesesuaian untuk diri
Jadual 2: Kesesuaian untuk diri bagi rawatan PBI
Bil | Kesesuaian | Ya | |
N | % | ||
1 | Sangat sesuai | 69 | 56.56 |
2 | Sesuai | 39 | 31.97 |
3 | Kurang sesuai | 14 | 11.48 |
KESELURUHAN | 122 | 100.0 |
Rajah 6: Kesesuaian untuk diri bagi rawatan PBI
Jadual 2 dan Rajah 6 di atas menunjukkan dapatan yang diperolehi daripada soal selidik terbuka bagi kesesuaian diri untuk PBI. Berdasarkan jadual dan graf di atas dapat dinyatakan bahawa respon yang paling tinggi yang diperolehi daripada pelajar adalah kaedah PBI ini sangat sesuai dengan diri mereka. Hal ini mungkin disebabkan oleh penglibatan mereka dalam pembelajaran adalah secara aktif dan perkara ini akan memberi peluang kepada mereka untuk memberikan pendapat masing-masing dan juga bentuk pembelajaran ini menarik dengan pelbagai aktiviti yang dapat menambahkan pengetahuan mereka. Selain daripada itu, terdapat juga pelajar yang merasakan pembelajaran PBI ini sesuai dengan mereka. Selain daripada respon positif yang diterima, terdapat juga respon negatif yang diterima daripada pelajar dimana mereka merasakan kaedah PBI ini tidak sesuai dengan diri mereka. Hal ini mungkin disebabkan oleh mereka tidak suka belajar menerusi komputer atau mungkin juga mereka lebih selesa belajar menggunakan kaedah yang lama. Faktor kurangnya pendedahan tentang PBI juga menyebabkan respon negatif diterima.
Kelemahan
Jadual 3: Kelemahan bagi rawatan PBI
Bil | Kelemahan | Ya | |
N | % | ||
1 | Tidak cukup masa | 47 | 51.09 |
2 | Masalah chatting (tidak yakin bagi pendapat) | 27 | 29.35 |
3 | Sukar sbb banyak kaedah, nota sukar difahami | 13 | 14.13 |
4 | Membosankan | 5 | 5.43 |
KESELURUHAN | 92 | 100.0 |
Jadual 3 dan Rajah 7 di atas menunjukkan dapatan yang diperolehi daripada soal selidik terbuka bagi kelemahan rawatan pembelajaran PBI. Berdasarkan jadual dan graf di atas dapat dinyatakan bahawa kaedah PBI melalui web ini merupakan satu kaedah baru yang memerlukan masa untuk diterima oleh semua pelajar. Berdasarkan respon yang diperolehi, kebanyakan pelajar mengatakan bahawa masa tidak mencukupi semasa rawatan ini dijalankan.
Kekuatan
Jadual 4: Kekuatan bagi rawatan PBI
Bil | Kekuatan | Ya | |
N | % | ||
1 | Dapat berbincang/komunikasi secara aktif | 90 | 20.69 |
2 | Dapat bertanya | 75 | 17.24 |
3 | Menarik | 69 | 15.86 |
4 | Padat lengkap dan mudah diingati/difahami | 68 | 15.63 |
5 | Banyak maklumat, mencabar, dpt pelajari sstu | 66 | 15.17 |
6 | Dapat tingkatkan kefahaman | 40 | 9.20 |
7 | Banyak idea dan cadangan dijana | 27 | 6.21 |
KESELURUHAN | 435 | 100.0 |
Rajah 8: Kekuatan bagi rawatan PBI
Jadual 4 dan Rajah 8 di atas menunjukkan dapatan yang diperolehi daripada soal selidik terbuka bagi kekuatan pembelajaran PBI. Berdasarkan jadual dan graf di atas dapat dinyatakan bahawa semua respon yang diterima dalam bahagian ini adalah positif. Hal ini menunjukkan bahawa kaedah ini diterima baik oleh pelajar dan juga kaedah ini mampu meningkatkan pemahaman pelajar tentang sesuatu subjek dan juga mereka mempunyai peluang untuk memberikan idea dan cadangan mereka tentang sesuatu perkara. Kaedah pembelajaran ini juga mampu untuk memberikan banyak kebaikan dan manfaat kepada pelajar hasil daripada interaksi dan komunikasi secara aktif antara pelajar, mudah diikuti dan difahami serta kaedah pembelajaran ini adalah menarik.
Daftar pustaka